04 Oktober 2008 – Majlis Aidilfitri Alumni KIAS (MURNI) II 2008 hari ini telah berjaya dilaksanakan mengikut jadual yang dirancang. Walaupun sambutan agak kurang berbanding dengan kehadiran di dalam program yang sama pada tahun lepas, program dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Jumlah kehadiran seramai 100 orang termasuk VIP dianggap sudah mencapai sasaran apatah lagi dengan pertembungan pelbagai komitmen yang melibatkan ahli-ahli alumni khususnya yang mendirikan rumah tangga di dalam bulan Syawwal ini.
MURNI II diserikan dengan kehadiran Ketua Eksekutif KIAS, Dr Johari bin Mat serta Timbalannya, Dr Zakaria @ Mahmood bin Haji Daud. Turut hadir ialah penasihat alumni yang juga Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah KIAS, Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari. Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis, Ustaz Ahmad Fida’ bin Othman diikuti dengan ucapan pengarah program, Ustaz Rujhan Zakaria serta ucapan pengerusi alumni, Ustaz Mohd Zaki Zakaria. Seterusnya majlis dirasmikan oleh Dr Johari bin Mat selaku tetamu utama di dalam majlis ini.
Di dalam ucapannya, Dr Johari sangat-sangat mengharapkan agar bekas-bekas pelajar KIAS memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk kepada pembangunan KIAS. Selain turut menyebut perkembangan-perkembangan terkini KIAS, beliau juga mengharapkan agar pihak alumni dapat bekerjasama dalam menjayakan program sambutan 10 tahun KIAS yang dijadualkan akan diadakan pada tahun hadapan.
Walaupun tidak diselitkan dengan acara cabutan bertuah dan persembahan nasyid sebagaimana tahun lepas, rata-rata hadirin berpuas hati kerana matlamat utama untuk hadir ke majlis ini hanyalah untuk bertemu mata dengan sahabat-sahabat lama yang mustahil dapat dikunjungi semuanya ketika Aidifitri ini. Oleh yang demikian, ramai yang mengharapkan agar promosi majlis ini dapat diperbesarkan pada masa-masa akan datang di dalam menarik kehadiran yang lebih ramai. Tambahan pula, bekas-bekas pelajar KIAS kini berjumlah lebih daripada 1000 orang. Sesungguhnya program seperti ini amat besar maknanya di dalam mentautkan ukhuwwah yang pernah terjalin dan memastikan agar ia terbina utuh buat selamanya.
Terima kasih kepada semua yang memberikan komitmen di dalam menjayakan program ini.
Tinggalkan Jawapan