Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘Pemergian Abadi…’ Category

11 Oktober 2008 – Bekas pensyarah subjek Bahasa Arab KIAS yang cukup dikenali di kalangan bekas-bekas pelajar khususnya, Ustaz Wan Mahmood bin Daud meninggal dunia hari ini kira-kira pukul 9.00 pagi di rumahnya di Pasir Puteh. Allahyarham merupakan tenaga pengajar di KIAS selama hampir 7 tahun dan mengambil cuti sakit pada pertengahan tahun 2005 akibat barah otak yang dihidapinya. Bagaimanapun, allahyarham tidak dapat menyambung kembali perkhidmatan di KIAS kerana penyakitnya tidak berjaya diubati. Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Pondok Tok Guru Daud Bukit Abal iaitu masjid allahyarham bapanya sendiri yang merupakan seorang tuan guru yang terkemuka. Turut sama hadir untuk menyembahyangkan jenazah ialah Ketua Ekesekutif KIAS, Dr Johari bin Mat serta para pensyarah yang lain. Tidak ketinggalan beberapa orang bekas pelajar KIAS yang turut sama hadir mengiringi perjalanan terakhir seorang guru yang dikasihi. Allahyarham pastinya akan dikenang sebagai seorang guru yang telah memberikan banyak sumbangan dalam mendidik pelajar-pelajarnya. Sepanjang berada di KIAS, allahyarham pernah dilantik sebagai penasihat PMKIAS dan penyelaras pusat bahasa. Semoga Allah merahmati roh allahyarham dan mengganjarinya dengan sebaik-baik ganjaran.

Read Full Post »

05 Oktober 2008 – Seorang bekas pelajar KIAS, Mohamad bin Abdullah, 22 telah meninggal dunia pagi ini selepas terjatuh dari keretapi di Jerantut, Pahang. Allahyarham yang merupakan bekas pelajar KIAS Ijazah Sarjana Muda Syariah 2005/2008 sedang di dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk bekerja selepas pulang bercuti sempena Aidilfitri. Beliau dikatakan berada di tangga gerabak kerana kesesakan penumpang yang pulang berhari raya, telah terlelap seketika dan tidak menyedari keretapi telah tiba di stesen. Ekoran itu, kakinya terlanggar besi penghadang di stesen sebelum tergelincir sebelah kakinya ke bawah dan mengakibatkan perutnya ditembusi besi. Peristiwa tersebut dikatakan berlaku sekitar pukul 3 pagi tadi dan beliau disahkan meninggal dunia di hospital berdekatan pada pukul 5 pagi. Allahyarham yang baru sahaja tamat pengajian di KIAS kini sedang dalam persiapan untuk menyambung pengajian di Mesir dan bekerja secara sambilan sebagai pegawai keselamatan di Kuala Lumpur. Semasa berita ini ditulis, jenazahnya masih belum dibawa pulang ke rumahnya di 197, Kg. Galok, Chetok, 17060 Pasir Mas Kelantan untuk disemadikan. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.

Kredit untuk Rusdi di atas maklumat yang disampaikan.

Read Full Post »

20 November 2007 – Takziah diucapkan kepada Ustaz Mohd Rozi bin Zakaria (gambar) di atas kematian bapanya hari ini. Setakat berita ini ditulis, pihak webmaster belum mendapat maklumat rasmi mengenai sebab-sebab kematian bapanya. Bapa beliau yang merupakan bekas pengetua di sebulah sekolah YIK telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3 pagi hari ini. Menurut Rozi, jenazah bapanya akan disembahyangkan selepas solat zohor. Saudara Rozi merupakan bekas alumni KIAS (2000-2003) telah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir dan kini berkhidmat sebagai guru di Maahad Tahfiz Sains, Tumpat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh bapanya, amin.

Read Full Post »

21 Oktober 2007 – Takziah diucapkan kepada keluarga salah seorang alumni KIAS, Mohd Zaid bin Muhammad (gambar) yang meninggal dunia hari ini akibat kemalangan jalan raya di Jalan Husein, berdekatan dengan Universiti al-Azhar, Kaherah. Beliau yang berasal dari Kedah baru sahaja bertolak ke ke Mesir untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda pada akhir bulan September yang lepas dan masih menunggu keputusan ujian penentuan tahap (Tahdid Mustawa) bagi menentukan tahun pengajian di Universiti al-Azhar. Difahamkan kemalangan berlaku dengan sebuah kereta yang dipandu laju apabila beliau menyeberangi jalan selepas menyertai majlis bacaan al-Quran di Masjid Syeikh Zaki Ibrahim yang diadakan selepas waktu zohor. Menurut saksi, beliau meninggal di tempat kejadian akibat pendarahan yang banyak. Beliau merupakan seorang pelajar yang bersyakhsiah baik dan menghormati guru sepanjang berada di KIAS (2004-2007).  al-Fatihah….

lagi berita di http://www.ekpkm.com/main/index.php?option=com_content&task=view&id=69&Itemid=74

Read Full Post »

6 Julai 2007 – Suami kepada salah seorang alumni KIAS, Tuan Rahimah binti Tuan Abdullah (gambar) telah kembali ke rahmatullah hari ini pada pukul 10.00 pagi di Hospital Tengku Anis, Kota Bharu akibat penyakit barah usus. Menurut Ustaz Mohd Zaki bin Zakarian, Presiden Alumni KIAS yang mengetuai rombongan alumni menziarahi jenazah, allahyarham yang baru berusia 29 tahun sebelum ini merupakan salah seroang kakitangan di Jabatan Pendidikan negeri mula dikesan mendapat penyakit demikian sekitar bulan Ramadhan yang lepas . Beliau telah meninggalkan seroang isteri iaitu Tuan Rahimah dan dua orang cahaya mata. Jenazahnya disolatkan di rumahnya di Pasir Puteh selepas solat asar dan juga dikebumikan di sana. Tuan Rahimah merupakan bekas pelajar KIAS jurusan syariah (2000-2003). Seluruh warga alumni berkongsi kesedihan yag dialami dan mengucapkan takziah serta mengharapkan keluarga allahyarham dapat bersabar di atas dugaan Allah SWT.

Read Full Post »